#Liberasi merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2018, Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, Siri 1 muka surat 261-300, yang melaporkan hasil audit Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (Malaysia Nuclear Power Corporation, MNPC).

Aktiviti MNPC Terbukti Memuaskan

Laporan audit ini secara jelas menyatakan bahawa MNPC adalah suatu perbadanan yang telah melaksanakan tugasannya dengan pencapaian kualiti yang tinggi. Malah, dalam beberapa aspek yang dinyatakan sebagai kurang memuaskan, prestasi MNPC tersebut adalah bukan disebabkan kelemahan sendiri, tetapi atas faktor luar. Sebagai contoh, laporan audit ini menyatakan prestasi perbelanjaan MNPC sebagai kurang memuaskan – sejak pertukaran kerajaan pada Mei 2018, semua aktiviti MNPC terpaksa dibatalkan selaras dengan perubahan dasar kerajaan berkenaan kuasa nuklear.

Perlu diberi perhatian juga adalah pencapaian MNPC yang sangat memuaskan berkenaan penyempurnaan lebih 84% daripada teras pencapaian yang diperincikan oleh Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (International Atomic Energy Agency, IAEA).Walaubagaimanapun begitu, aktiviti susulan MNPC tidak dapat diteruskan dengan perubahan dasar kerajaan Malaysia yang disebut di atas.

Sikap Kerajaan Malaysia Merisaukan

Apa yang sangat membimbangkan adalah laporan audit ini secara jelas menyatakan MNPC telah menjalankan pelbagai inisiatif berkenaan projek kuasa nuklear yang langsung tidak pernah dibentangkan kepada kerajaan Malaysia. Petikan-petikan berkaitan daripada laporan audit tersebut adalah seperti berikut:

“Usaha telah dijalankan oleh MNPC untuk membentangkan kajian menambah baik Pembangunan Rang Undang-undang baharu Kawal Selia Tenaga Atom di Malaysia yang telah siap pada suku pertama 2018 tetapi ditangguhkan kerana Pilihan Raya Umum ke-14. MNPC telah mengemukakan surat kepada Menteri MESTECC, Menteri di JPM dan Perdana Menteri bagi menjelaskan peranan dan inisiatif MNPC dalam menerajui Kajian Kebolehlaksanaan Tenaga Nuklear sebagai salah satu (1) sumber penjanaan elektrik untuk masa hadapan. Sehingga kini, surat jawapan daripada pihak terlibat masih belum diterima.”

“Kajian Pelan dan Strategi Komunikasi bagi Fasa 2 telah selesai dilaksanakan dengan penerimaan laporan akhir yang diterima pada 15 Februari 2019 dan diluluskan Jawatankuasa Penilai pada 21 Februari 2019. Ia juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu pada 1 Mac 2019 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 7 Mac 2019. Pembayaran bagi laporan akhir juga telah dibuat dan MNPC telah menerima kesemua hasil kajian dalam bentuk salinan digital pada 9 April 2019. Selepas daripada pengumuman tentang penutupan program tenaga nuklear, MNPC telah mengemukakan surat kepada Menteri MESTECC, Menteri di JPM dan Perdana Menteri untuk memberi penjelasan keseluruhan aktiviti MNPC termasuk hasil kajian yang telah dilaksanakan. Sehingga kini, surat jawapan daripada pihak terlibat masih belum diterima.”

Hasil Kajian MNPC Harus Dibentangkan Kepada Orang Ramai

Liberasi faham bahawa sebarang keputusan tentang kuasa nuklear hanya boleh diambil setelah penilaian terperinci dilaksanakan berkenaan perkara ini – dan keputusan ini tidak semestinya menyokong kuasa nuklear. Liberasi yakin bahawa kesemua kajian yang dilaksanakan oleh MNPC membawa kebaikan kepada semua warga Malaysia, jika tidak secara terus melalui justifikasi membina stesen janakuasa nuklear, tetapi juga melalui kualiti kajian, metodologi dan hasil kajian yang dapat digunakan sebagai contoh dan rujukan di masa hadapan.

Oleh itu, Liberasi menyarankan kerajaan Malaysia, khususnya MESTECC, untuk memberi kebenaran kepada MNPC untuk berkongsi dan membentangkan hasil kajian bukan hanya kepada pihak kerajaan, malah juga kepada orang awam. Kami menyeru pihak kerajaan untuk membuka akses kepada laporan-laporan kajian ini kepada semua rakyat Malaysia melalui media elektronik seperti Laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas (LAMP) yang boleh dimuat-turun di laman sesawang MESTECC dan media tradisional.

Saranan ini adalah selaras dengan rumusan laporan audit yang menyatakan yang berikut:

“Pada pendapat Audit, MNPC telah melaksanakan tiga (3) kajian iaitu Infrastruktur Undang-undang dan Pengawalseliaan Untuk Pembangunan Loji Tenaga Nuklear, Pelan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear, Kajian Kebolehlaksanaan dan Penilaian Tapak serta Kajian Komprehensif 10 Tahun Pelan dan Strategi Komunikasi Untuk Tenaga Nuklear. MNPC patut diberikan ruang untuk membentangkan kepada Kerajaan tentang tiga (3) kajian ini untuk membuat keputusan sama ada program pembangunan tenaga nuklear sepatutnya diteruskan ataupun tidak. Jika program ini dihentikan ia tidak dapat dijadikan alternatif kepada sumber penjanaan tenaga elektrik sedia ada yang bergantung kepada arang batu dan gas asli yang menghasilkan pencemaran gas karbon dioksida yang tinggi serta menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim.

Selain itu, ia juga merupakan pembaziran kepada wang awam kerana MNPC telah membelanjakan sejumlah RM41.28 juta untuk menghasilkan tiga (3) kajian tersebut.”

Masa hadapan Malaysia bergantung kepada ketelusan Kerajaan dalam merangka pelan pembangunan negara yang strategik dan berlandaskan fakta saintifik . Liberasi mengesyorkan agar kerajaan Malaysia kembali berpaksi kepada kaedah saintifik dengan mengkaji semula opsyen kuasa nuklear melalui pembentangan hasil kajian MNPC. Rakyat Malaysia adalah berhak untuk diberi penjelasan terperinci berkenaan hasil-hasil kajian MNPC tentang potensi kuasa nuklear untuk Malaysia.

Disediakan oleh,

Arveent Srirangan Kathirtchelvan, Ketua Penyelaras, #Liberasi

Disokong oleh,

  1. #Liberasi
  2. Women in Nuclear (WiN), Malaysia
  3. Nuclear Engineering Student Society (NESS), Universiti Teknologi Malaysia
  4. Jamal Khair Ibrahim, Independent Nuclear Power Programme Development and International Nuclear Techno-political Affairs Consultant, (jamalkhaeribrahim@gmail.com)
  5. Dr Mohd Syukri bin Yahya, PhD Nuclear Engineering, (mohdsyukriyahya@gmail.com)
  6.  Azrudi Mustapha, PhD Candidate in Nuclear Engineering, Imperial College London
Advertisements

3 thoughts on “MESTECC, Beri Ruang Kepada MNPC Untuk Bentangkan Kajian Kuasa Nuklear

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.